Sunday, May 22, 2011

Meteor (Intro)

19 tahun yang lalu...
                Sebuah meteor sebesar satu kilometer radius  telah jatuh kebumi. Ramai terkorban di presint A4, sebuah kawasan kepulauan dan terdapat sebuah perkampungan kecil. Kejadian itu memusnahkan hampir keseluruan pulau tersebut. Pulau itu kini hanya tinggal pesisir pantai dan menjadi tanah rata akibat dihentam meteor terbesar.

                Meteor juga jatuh di semua kawasan muka bumi, malah seluruh dunia. Hujan meteor itu berlaku selama hampir satu minggu. Walaupun kebanyakan meteor yang jatuh sekecil bola dan ada sebesar padang bola,  ia tetap merbahaya kerana dlm kuantiti yang banyak. Kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat. Dalam masa yang sama, pihak kerajaan mendesak pasukan keselamatan global untuk memberitahu punca meteor jatuh kebumi.

                Global Security Community, GSC sebuah pasukan global yang dibentuk setelah semua negara di bumi mula bekerjasama. Pasukan ini di bentuk demi menjaga keselamatan dan keamanan sejagat. Oleh kerana GSC sebuah badan keselamatan yang besar, ia tiada kepentingan tertentu dimana-mana negara tetapi mempunyai kuaters di semua negara.
                Selepas kejadian meteor tersebut, GSC menjelaskan tentang kejadian meteor itu berlaku kerana asteroid yang mengelilingi bujuran di antara marikh dan misytari berlanggar satu sama lain kerana tarikan graviti marikh yang pada ketika itu dekat dengan lingkaran asteroid. Asteroid sebesar bulan telah terkeluar dari lingkaran itu setelah berlakunya pelanggaran dengan asteroid lain. Pada mulanya asteroid terebut sepatutnya jatuh di marikh tetapi daya pelanggaran asteroid itu menyebabkan ia melencong melepasi marikh dan jatuh kebumi. Tiada siapa dapat menafsirkan akan hal itu akan berlaku.
                Asteroid sebesar bulan hancur terbelah dua apabila GSC menembak laser ke arahnya semasa melalui atmosphere bumi. Akan tetapi, separuh dari asteroid itu terlepas dan terus jatuh ke bumi di apresint  A4. Selepas Meteorid besar itu masuk keruang udara bumi, asteroid yang lain turut menghentam bumi. Kejadian berlaku selama seminggu gara-gara hentaman di lingkaran asteroid itu membentuk satu lingkaran baru kebumi tetapi terputus apabila dua asteroid besar berlaga sesama sendiri dan lingkaran asteroid itu kembali normal.
                Akibat kejadian itu, semua kawasan yang terlibat menerima bantuan dengan segera. Orang awam diminta untuk pindah ke kawasan penempatan sementara manakala orang awam yang cedera akibat kejadian itu di pindahkan ke wad kecemasan. Orang awam ditempatkan disitu sementara GSC memindahkan semua meteorid yang jatuh kebumi ke kawasan lain untuk disiasat.
                Hasil dari siasatan mendapati bahawa meteorid itu mempunyai ciri-ciri elemen yang sungguh unik. Kebanyakannya berbeza antara satu sama lain. Meteorid itu mempunyai kadar radiasi yang tinggi tetapi tidak merebak seperti radiasi biasa. GSC mengambil keputusan untuk mengasingkan semua yang cedera dengan meteorid untuk pemantauan dan penyelidikan.
                Pembersihan dan pembangunan selepas kejadian meteorid jatuh mengambil masa tiga tahun untuk baikpulih. Bagaimanapun, presint A4 terpaksa ditutup kerana GSC percaya bahawa hampir lapan puluh peratus dari kepulauan itu kini adalah meteorid yang terhempas disitu.

                Fikri adalah antara orang yang terselamat dari presint A4. Beliau tercampak diperairan presint  A2, empat puluh kilometer dari presint A4. Beliau dalam keadaan cedera parah, bajunya hampir enam puluh peratus terbakar, begitu juga kulitnya kerana hentaman meteorid itu. Tiada tulang yang patah atau retak. Bagaimanapun, ketika dijumpai, beliau dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dalam keadaan demam panas. Mungkin kerana nasib, beliau diselamatkan oleh orang kampung di sekitar A4.
                Presint  A2, kawasan yang luas dipenuhi dengan tumbuhan hijau dan jauh dari pembangunan pesat. Walaupun dunia sudah membangun dengan pesat, mempunyai bangunan pencakar langit yang tinggi-tinggi dan kawasan penempatan yang lebih sistematik, tetapi presint A2 masih seperti asalnya. Susah untuk melihat pokok atau tumbuhan hidup di bandar kerana seluruh bandar di bangunkan dalam keadaan mampat dan sesuai untuk bekerja, oleh kerana bandar yang disusun rapi mengikut blok, maka bandar tidaklah begitu panas.
Berbeza dengan presint A2, kawasan itu digazetkan sebagai kawasan perhilitan. Dimana GSC dan mana-mana badan global tidak mempunyai kuasa untuk membangunkannya. Boleh dikatakan, presint  A2 adalah kawasan terbiar oleh kerajaan. Walaupun ada pekan dan bandar, fasiliti yang cukup seperti elektrik, air yang bersih, telefon, sekolah dan kolej, namun, kawasan itu masih dikategori luar bandar kerana teknologi yang rendah.
Berbanding dengan mana-mana presint di seluruh negara, presint A2 hanya mengalami kerosakan yang minimum dan rendah. Hujan meteroid yang berlaku pula walaupun turut jatuh ke kawasan penempatan, tetapi tidak begitu teruk kerana tiada kecederaan berlaku dan hanya kerosakan rumah. Itu pun rumah yang diperbuat dari kayu dan rumah banglo sahaja disamping meteorid jatuh ke hutan. GSC bagaimanapun tidak memasuki presint  A2 kerana undang-undang. Hanya gavenor dan kawasan sekitarnya sahaja yang memberi pertolongan, walaubagaimanapun, kos kerugian tidak lah sebesar di bandar.
Fikri dirawat dihospital kecil di pekan. Pihak hospital tidak menjangkakan bahawa panas badan Fikri melebihi tahap normal iaitu 75 darjah selsius. Hospital itu tidak seperti hospital di bandar. Prasarana dan kepakaran yang kurang menyebabkan hospital seperti terbiar tetapi gavernor masih cuba mendapatkan bantuan bekalan perubatan dari kawasan sekitar.  Sepasang suami isteri yang berumur menghantar Fikri ke hospital. Fikri bernasib baik kerana salah seorang doktor disitu adalah anak kepada sepasang suami isteri berumur itu. Dia lah yang sanggup merawat Fikri selama dia tidak sedarkan diri selama seminggu.
Akhirnya Fikri sedar. Dia bagaimanapun seperti kebingungan dan masih kesakitan akibat hentaman meteorid di tempatnya.
“Saya Doktor Rohana, kamu dijumpai terdampar di pantai oleh penduduk di situ. Siapa nama kamu? Adakah kamu tahu kenapa kamu terlantar di hospital?” tanya Doktor Rohana bertubi-tubi.
Fikri terdiam seketika, pening dikepala masih lagi menyerang. Atas sikap profesional, Doktor Rohana menyuruh Fikri berehat dahulu dan menjawab pertanyaannya setelah Fikri lebih sembuh. Doktor Rohana terus beralih keluar dari wad itu untuk menuju ke wad sakit yang lain.
Banyak buah fikiran yang melintas dalam fikirannya. Dalam benak hatinya dia tahu bahawa seluruh keluarganya, ibu dan ayahnya telah meninggal gara-gara hentaman meteorid. Dia mula mengingat kembali kejadian itu satu demi satu. Dalam masa yang sama, Doktor Rohana melayannya seperti keluarga kerana ingin tahu identiti Fikri.
Fikri duduk di sesiku tingkap, memegang lutut kanannya sambil melihat pemandangan matahari terbenam. Dia cuba menenangkan diri dan redha dengan apa yang berlaku kepadanya. Doktor Rohana masuk kebilik wad Fikri untuk check keadaan Fikri sebelum pulang kerumah. Selain itu, dia meletakkan sebakul buah yang dipetik oleh ibu bapanya di kampung.
“Hmm, kamu makan ya buah ini. Buah-buahan ini bagus untuk memberansangkan otak dan badan supaya menjadi lebih bertenaga dan sihat. Saya nak periksa fail kamu sebelum saya beredar,” jelas Doktor Rohana.
Doktor Rohana memeriksa fail yang digantung di katil, dia mendapati bahawa keadaan Fikri sudah semakin pulih dan esok dia harus membuka balutan di tubuh Fikri. Kemudian dia menuju kearah bungkusan air suling yang disangkut disitu untuk peredaran darah Fikri. Doktor Rohana berdiri betul-betul berdekatan dengan Fikri. Tiba-tiba Fikri memegang tangan Doktor Rohana, Doktor Rohana mula-mula terkejut akan perbuatan Fikri.
“Doktor, awak nak tahu tak kenapa saya disini? Maaf sebab tabiat saya beberapa hari lepas. Waktu tu saya dalam keadaan pening dan tak tentu arah,” Fikri memulakan bicara.
Doktor Rohana terdiam seketika sebelum berbicara,” Sudah tentu saya ingin tahu. Lagi pun saya ingin tahu siapa kamu, kawasan kampung itu hanya ada nelayan sahaja. Mana mungkin seseorang yang terbakar teruk boleh berada dalam laut”
“Saya Fikri. Orang panggil Fikri. Saya dari presint A4 di kawasan pantai pulau, datang untuk menjalankan siasatan mengenai arkeologi purba disana. Iya, saya seorang pakar arkeologi. Ibu bapa saya juga sama seperti saya. Mereka ikut saya ke presint A4 kerana terdapat kesan-kesan purba disana. Malang tidak berbau, saya keluar dengan rakan saya untuk memancing di laut pada waktu itu. Tiba-tiba kami terdengar sebuah letupan kuat sebelum ternampak cahaya. Sebuah meteorid besar meletup diudara dan bahagian yang besar itu menuju ke arah pulau tempat kami. Saya suruh rakan saya kemudi bot untuk pulang memberitahu keluarga saya keluar dari pulau tetapi kawan saya menolak. Saya tiada pilihan melainkan menghentak benda ke kepalanya sehingga pengsan dan mengemudi bot ke kawasan pantai. Tidak sampai ke perairan, saya meteorid itu menghentam pulau. Saya rasa waktu itu saya dan rakan saya terhumban jauh ke laut kerana gelombang hentaman yang kuat dari meteorid. Ibu bapa saya meninggal disitu dan saya tidak sedarkan diri. Waktu saya sedar, awak dah tanya macam-macam pada saya,” Jelas Fikri.
“Oh, maksudnya kamu antara mangsa meteorid itu. Kami ada dengar mengenai meteorid itu, hampir seminggu kami diberi amaran tidak keluar kerana keadaan bahaya. Saya ada melihat di kaca televisyen pasal presint A4. Hentaman meteorid kuat itu menyebabkan kawasan itu menjadi rata,” Ujar Doktor Rohana.
Fikri kelihatan sedih. Bagaimanapun dia tidak boleh menangis kerana menjaga maruah lelakinya. Doktor Rohana sedar akan hal itu, dia melihat bahawa mata Fikri mula bergelinangan air mata.
“Oh, sebelum saya terlupa. Kamu esok dah boleh keluar untuk bersiar-siar di kawasan hospital ini. Oleh kerana saya free esok, saya akan menemani kamu,” kata Doktor Rohana cuba beralih cerita.
“Esok, saya kurang pasti. Takut-takut masa keluar esok, semua lari sebab tengok zombie bergerak,” jawab sinis Fikri.
“Hmm, entah lah. Kami tak pasti mengenai hal itu. Tapi kami sudah berusaha sepenuh hati untuk merawat kamu, malah esok balutan kamu akan dibuka. Bukan rupa menjadi pengukur, tetapi hati budi yang baik menjadi pemikat. Sudah takdir kamu terlepas dari maut dan dapat hidup sampai hari ini,” kata Doktor Rohana sambil tersenyum.
Fikri berasa ringan dan selesa. Selepas bercerita dengan Doktor Rohana, dia berasa lega. Dia membalas senyuman Doktor Rohana walaupun dengan muka berbalut.
“Ah! Lagi satu sebelum saya lupa. Kamu bernasib baik kerana saya tidak tolak kamu keluar tingkap itu kerana menyentap tangan saya. Saya rasa kamu tahu bukan bahawa kami ni bukan ‘bebas’ bersosial macam kamu orang bandar,” kata Doktor Rohana dengan sinis sekali.
Fikri hanya tersengih. Terasa perasaan malu dan segan bila ditegur wanita sedemikian rupa. Tapi apa yang dikatakan Doktor Rohana ada betulnya. Selama hidupnya di bandar, berpegangan tangan, berpelukan antara lelaki perempuan adalah biasa. Tetapi di luar bandar, masyarakat masih mengutamakan sikap hormat dan batas pergaulan lelaki dan wanita. Walaupun demikian, Fikri berasa  selesa dengan kehadiran Doktor Rohana.
Keesokannya, balutan Fikri akan dibuka. Keluarga Doktor Rohana turut hadir di hospital. Doktor Rohana memperkenalkan ibu bapanya Encik Kamal dan Puan Aini, orang yang menyelamatkan Fikri dan juga merupakan ibu bapa Doktor Rohana. Fikri bagaikan tidak percaya, tidak menyangka bahawa orang yang menyelamatkan dia ada kaitan dengan orang yang dia percaya iaitu Doktor Rohana. Bagai pucuk dicipta ulam mendatang, Fikri kelihatan gembira kerana ibu bapa Doktor Rohana sanggup datang untuk melawatnya.
Debaran mula terasa, sudah tiba masa untuk membuka balutan Fikri. Fikri mula berasa cemas dan risau jikalau mukanya menjadi hodoh dan mengerutu kerana kebakaran. Dia cuba mengimbau kembali kata-kata Doktor Rohana.
“Rupa bukan pengukur, tetapi hati budi yang baik menjadi pemikat,” Terlintas di fikirannya kata-kata Doktor Rohana.
Balutan di muka Fikri di buka dahulu. Perlahan-lahan jururawat membuka ikatan itu agar kulit  Fikri yang terbakar tidak tercabut atau terluka semasa proses tersebut. Bagai kerbau terkejut oleh gong, jururawat itu tercengang seketika dan memanggil Doktor Rohana untuk memeriksa. Doktor Rohana agak cemas bila namanya dipanggil risau jikalau berlaku hal-hal yang tidak diingini olehnya kepada  Fikri. Dia segera masuk ke dalam. Alangkah terkejutnya dia apabila kulit Fikri yang terbakar menggelupas dan tercabut melekat di kain balutan. Kulit muka yang baru tanpa sebarang luka dan parut  tumbuh sempurna sahaja. Dia cuba membuka balutan di tangan dan kaki, perkara sama berlaku. Keajaiban yang tidak disangka itu membuatkan dia gembira.
“Tahniah, badan kamu kelihatan sihat dan tiada parut kebakaran langsung. Macam ajaib!” Jelas Doktor Rohana dengan gembira kearah Fikri.
Fikri pun turut kehairanan. Dia tahu bertapa teruknya badannya melecur kerana terbakar. Bagaimanapun. Perasaan itu menghilang apabila melihat Doktor Rohana melompat kegembiraan. Doktor Rohana berhenti melompat. Dia tersipu malu apabbila di tenung tajam oleh Fikri. Tanpa disedari, Doktor Rohana dan Fikri saling pandang memandang antara satu sama lain.
Siapa sangka kehidupan Fikri berubah dengan drastik sekali. Kalau sebelum ini Fikri tiba-tiba kehilangan keluarga, kini dia mendapat keluarga baru. Selepas beberapa minggu pulih dan mendapat kebenaran pulang, Fikri akhirnya masuk meminang dan berkahwin dengan Doktor Rohana.
Kebahagiaan Doktor Rohana tidak terhenti disitu sahaja, Fikri mula mendapat kerjanya semula sebagai pakar arkeologi dan hasil pendapatan Fikri digunakannya untuk membeli rumah banglo di kawasan pekan, dekan dengan hospital tempat Doktor Rohana bekerja. Doktor Rohana begitu bahagia mendapat suami seperti Fikri.
Beberapa bulan kemudian, presint M11, jauh ke utara, sebuah kawasan yang besar yang dahulunya dikenali sebagai Manhattan digemparkan dengan mutasi manusia. Seorang pesakit yang ditahan kerana cedera oleh meteorid tiba-tiba berubah menjadi bengis, liar dan mampu menjadi apa sahaja dia pegang. Pesakit itu merupakan salah seorang mangsa kajian tidak bermoral GSC  keatas manusia atas sebab meteor. DNA pesakit itu dikatakan mampu berubah menjadi apa sahaja yang disentuhnya. Akibat dari itu, hampir kesemua pesakit meteor dapat melepaskan diri dari kawasan penyelidikan itu dan pihak GSC terpaksa memburu mereka satu persatu.

Hampir 90 peratus pesakit yang melarikan diri itu mula membunyai tenaga dan kuasa yang pelik. GSC memanggil mereka sebagai mutasi dan merbahaya. Kerana kuasa yang dimiliki, ia membuatkan GSC cemas jikalau mereka ini bekerjasama dengan pihak yang inginkan kuasa veto.
Doktor Rohana mengetahui perihal cerita itu selepas sebulan ia berlaku, itu pun setelah GSC mengambil tindakan untuk memberitahu orang awam agar berhati-hati. Doktor Rohana tahu yang Fikri juga mangsa meteor itu dan berharap tiada apa yang buruk berlaku kepada Fikri kerana Doktor Rohana sedang mengandung dua bulan.
Fikri dengan kerjanya sebagai arkeologi harus pergi keluar kawasan untuk menyiasat. Kali ini dia mendapat arahan untuk menyiasat satu kawasan purba dinamakan Pyro kerana simbol api pada tamadun tersebut.
Berdasarkan artifak yang diperolehi Fikri, masyarakat purba tersebut menggunakan api sebagai pelindung. Pada zaman itu, raksasa dan makhluk merbahaya yang pelik sering menyerang mereka. Difahamkan, bomoh atau ‘shaman’ dari kaum ‘Synin’ mendapat petunjuk bahawa api biru mampu membunuh raksasa merbahaya itu. Maka mulalah pencarian oleh semua kaum pada tamadun itu akan api biru. Akhirnya mereka menjumpai sebuah pulau dipercayai dipenghuni sebuah kaum yang mempunyai kuasa mengawal dan menghasilkan api biru yang dipanggil kaum ‘pyro’. Semua kaum yang menghadapi masalah raksasa itu mula berkerumun dan meminta pertolongan dari kaum itu. Ketua kaum ‘pyro’ yang tidak sampai hati melihat kaum lain menderita akhirnya menyeru semua penduduknya agar segera memberikan bantuan kepada kaum-kaum yang menderita kerana raksasa itu. Akhirnya raksasa ganas mula berkurangan. Kaum ‘Synin’ dan kaum-kaum lain mula cemburu dan dahagakan kuasa yang ada pada kaum ‘pyro’.  Maka berlaku pertelingkahan dan akhirnya ketua kaum ‘pyro’ dan penduduknya mati dibunuh oleh kaum lain. Bagaimanapun, kaum-kaum itu masih tidak dapat kuasa yang mereka inginkan kerana tidak tahu cara membuka kuil kaum ‘pyro’. Akhirnya kaum ‘synin’ dan kaum-kaum pada tamadun itu musnah kerana keganasan raksasa.
Fikri tidak menyangka, bahawa terdapat kuasa ajaib pada tamadun-tamadun sebelumnya. Dia dan penyelidik lain mula beralih ke arah petunjuk lain untuk mencari kuil yang dikatakan milik kaum ‘pyro’, sumber kuasa mereka. Mereka menyeberangi sungai, danau, hutan, dan gunung. Begitu jauh kedalam hutan. Antara sebelas orang penyelidik itu termasuk Fikri, mereka mula berehat di sebuah gua.
Hujan begitu lebat ketika itu, bagaimanapun malam bakal menjelma dalam beberapa jam. Mereka harus mencari bahan bakar dengan segera walaupun dalam keadaan hujan. Fikri dan tiga orang lagi mula mencari kayu-kayan di sekitar gua. Tanpa di ketahui, Fikri makin tersesat jauh dari tempat mereka berehat. Agak suram dan basah, malah keadaan hutan tebal yang liar dengan pokok tinggi dan belukar setinggi aras pinggang menyukarkan perjalanan. Dengan berbekalkan sebilah parang, dia menempuh belukar itu untuk mencari bahan bakar.
Tiba-tiba kedengaran suara orang menjerit. Fikri terkejut dan berhenti. Cuba diamatinya dari mana suara itu kedengaran dan bergerak menuju ke arah situ. Cemas dan gelisah, tak dapat dibayangkan oleh Fikri apa yang bakal di jumpanya lagi-lagi dikawasan yang tidak berpenghuni. Semakin lama semakin laju langkah Fikri. Belum sempat sampai ke kawasan yang dituju, tiba-tiba Fikri terdengar suara menjerit lagi di arah barat. Fikri semakin cemas, dan berlari arah barat. Belukar dan duri bukan lagi jadi penghalang dari dia menuju ke arah suara itu. Dia risau jika sesuatu berlaku pada rakan-rakannya.
Bagai dirahap kain basah, Fikri terkejut kaku melihat rakannya dilapah oleh sejenis makhluk hodoh. Dia teringat akan kisah tamadun ‘pyro’ yang dijumpai artifaknya. Tiba-tiba makhluk itu ternampak dia dan mula mengejarnya. Fikri tiada pilihan melainkan melarikan diri sekuat hati. Diamana ia melangkah dan menuju sudah tiada arah lagi. Dalam benak hatinya hanya ingin menyelamatkan diri. Teringat akan isterinya yang menunggu lama di rumah. Dia bakal mendapat cahaya mata, tidak mungkin dia akan pergi dahulu tanpa melihat dan membesarkan anaknya itu. Demi anak dikandung Doktor Rohana, Fikri berlari sepuas hati. Bagai tidak cukup tanah, beliau lari memanjat bukit dan danau.
Dia tiba di sebuah gua dan segera masuk kedalam gua itu. Dalam keadaan tercungap-cungap, cuba ditahannya nafas dan menyorok di celah-celah batu gua agar tidak disedari makhluk ganas itu. Makhluk itu tiba di pintu gua, walaupun hujan lebat, Fikri dapat melihat dengan jelas makhluk itu. Mempunyai gigi taring, kuku yang panjang dan tajam, berdiri bongkok dan badan berbulu. Makhluk itu mengaum-ngaum bagai singa. Bagaimanapun makhluk itu bagai tidak berani masuk ke gua itu. Hampir seminit ia menunggu di luar gua sambil mengaum. Fikri menggeletar dan tidak mampu bertindak apa-apa apabila makhluk itu berada dihadapannya.
Malang tidak berbau, ketika ia cuba berundur untuk menuju ke dalam gua itu, tiba-tiba dia terlanggar sesuatu seperti besi yang menyebabkan bunyi. Makhluk gua itu tersedar dan berlari ke arah dalam gua itu. Fikri tiada pilihan melainkan melarikan diri lagi dalam ke gua. Dalam hatinya, beliau tahu bahawa beliau tidak mungkin dapat melarikan diri lagi kerana terperangkap di dalam gua.
Tiba-tiba, Fikri terlihat cahaya terang dari dalam gua menuju keluar. Mulakan Fikri terfikir ia adalah orang, tetapi tidak. Api marak berwarna biru bagai disembur keluar terkena dia dan terus terkena ke makhluk itu. Makhluk ganas itu terbakar dan hancur. Fikri tergamam. Mukanya pucat, bajunya terbakar. Bukan itu sahaja, dia terjumpa sesuatu yang tidak sepatutnya dijumpanya.
Fikri pulang ke gua dimana rakan-rakannya beistirehat. Dalam keadaan basah, baju yang separuh terbakar, dia masuk ke dalam gua dalam keadaan menggigil dan terus masuk ke khemahnya. Rakan-rakan yang lain berasa hairan dan cuba bertanya. Mereka terkejut apabila memegang Fikri dan berasa panas, mereka sangkakan Fikri demam panas dan memberi ubat serta membawanya ke tepi bara api.
“Te... Tempat ini bahaya.... K. Ki... taa.. tak patut da...tang ke tem...pat ini,’ kata Fikri sambil menggigil dan terketar-ketar.
Dia mula menceritakan apa yang terjadi dengan dua orang rakannya. Semua mereka tidak percaya kerana ia adalah mitos semata-mata. Ada antaranya cuba mengejek dan mengata Fikri. Bagaimanapun, malam itu merupakan malam paling pahit bagi Fikri.
Keesokannya, Fikri membawa raka-rakan nya ke gua yang dimasukinya sebelum itu. Ternyata ia bukan hanya gua biasa, tetapi sebuah kuil lama. Dijumpai tembikar, balang, bekas pemujaan, dan bekas penyimpan yang besar di tengah-tengah tempat memuja diperbuat dari emas. Fikri berdiam diri ketika itu, hanya dia yang tahu apa yang berlaku waktu itu. Kemudian dia membawa rakan-rakannya ke tempat rakannya dibunuh. Masih kelihatan kepala tetapi badan rakannya hancur dimamah makhluk itu. Rakan-rakan sekerjanya yang lain mula percaya dan membawa semua barang dalam gua itu keluar untuk penyelidikan.
Fikri pulang ke pangkuan keluarganya. Doktor Rohana memberitahu yang kebarangkalian Fikri berlaku mutasi seperti mangsa meteor yang lain adalah tinggi, tetapi Fikri menyatakan yang dia tidak berasa apa-apa yang luar biasa. Bagaimanapun, dalam benak hatinya, bimbang dengan kejadian yang berlaku padanya sewaktu masuk ke hutan tempoh hari. Doktor Rohana melemparkan senyuman kepada suaminya sebelum dia mula kembali bekerja. Namun, dalam diam dia dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dengan suaminya.
“Hello, Encik Fikri ada?” tanya seorang wanita yang menelefon pada pagi buta.
“Dia tiada, dia awal pagi lagi sudah keluar. Saya isterinya, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Jawab Doktor Rohana.
“ Macam ni, keputusan  dari penyelidikan barang-barang purba tamadun ‘pyro’ sudah pun keluar. Kami berharap yang puan dapat sampaikan pada Encik Fikri dengan segera ya. Lagi satu puan, harap Encik Fikri dalam keadaan baik kerana beliau diserang oleh makhluk purba ketika menyelidik di hutan sebelum ni,” kata wanita itu lagi.
Doktor Rohana terkejut akan berita itu. Fikri langsung tiada menyebut apa-apa mengenainya. Doktor Rohana tiada pilihan melainkan menanya sendiri dengan Fikri perihal itu.
                Pada waktu malam, Doktor Rohana pulang lebih awal dari biasa. Dia memasak kari kepala ikan dan sambal tumis yang sememangnya kegemaran Fikri. Fikri yang baru pulang mula menjamah makanan dengan agak lahap kerana sudah lama tidak makan masakan isterinya. Sesudah makan, beliau duduk di depan televisyen.
                “Abang, kita sudah lama bernikah. Harap abang dapat berterus terang dengan Ana ya bang. Baru-baru ini Ana dapat rasa sesuatu tidak kena dengan abang. Malah suhu badan abang juga tidak normal seperti orang lain. Apa yang sudah berlaku? Harap abang dapat terus terang dengan Ana,” Pinta Doktor Rohana.
                Fikri pada mulanya cuba mengelak, tetapi berkali-kali Doktor Rohana menanyanya. Fikri tiada pilihan melainkan berterus terang.
                “Sebenarnya, sewaktu abang berada di hutan, abang diserang dengan makhluk purba. Tapi abang dapat melepaskan diri. Tapi sayangnya, bagai terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau. Abang terjumpa dengan makhluk api dari tamadun ‘pyro’ itu. Ia cuba bunuh makhluk itu dan terkena abang. Baju abang terbakar tapi nasib baik abang tak terbakar. Tiba-tiba ia datang dan kata yang abang akan jadi perumahnya sampai dia dapat tenaga semula untuk bangkit ke dunia,”Jelas Fikri.
                Doktor Rohana terkilan. Bagai terdengar cerita mitos dan dongeng, tetapi cuba dipercayainya kerana keadaan suaminya yang abnormal. Dia tahu, suaminya munkin terserempak dengan kecelakaan tetapi dalam masa yang sama mempunyai kelebihan dari meteor yang menimpa suaminya.
                Tinggal beberapa minggu lagi Doktor Rohana akan melahirkan anak. Fikri berasa sungguh gembira. Beliau juga mengadakan kenduri doa selamat agar isterinya selamat melahirkan anak dan anaknya dalam keadaan sempurna dan selamat. Ramai penduduk dan sahabat taulan datang ke majlis itu. Maklumlah, Doktor Rohana seorang yang peramah. Beratus-ratus pesakit bawah jagaannya mendapat layanan mencukupi dan dijaga dengan rapi sekali. Manakala Fikri pula seorang yang ringan tulang, sentiasa membantu sesiapa sahaja yang memerlukan seperti moreh dan membantu orang kenduri kahwin. Mereka disenangi oleh penduduk dipekan kecil itu.
                Beberapa hari kebelakangan ini, Fikri mengalami demam teruk. Suhu badan Fikri mencecah 78 darjah selsius. Untuk mengurangkan kepanasan, Fikri merendamkan tubuhnya dalam air dicampur dengan ketulan ais untuk menyejukkannya.
                Akhirnya Doktor Rohana selamat melahirkan anak lelak. Mereka namakannya Zikri. Selain itu, serangan demam Fikri juga mula berkurangan. Cuma yang merisaukan Doktor Rohana ialah kadang-kadang Fikri akan menghasilkan api tiap kali sendawa atau marah. Bukan risaukan keselamatan, tetapi risau jika pihak keselamatan GSC akan datang menangkap Fikri.
                Zikri kini berumur dua tahun. Mereka kini tinggal di presint A7, barat daya presint A2.  Berada di bandar merupakan pilihan terakhir Doktor Rohana, tetapi susah untuk menolak  tawaran dari gavenor presint A2 yang ingin Doktor Rohana berjaya. Zikri pula dijaga di rumah penjagaan kanak-kanak  Taska Penyayang berdekatan dengan rumah mereka. Fikri mula sibuk dengan kerja-kerja penyelidikan di makmal berbandi keluar ke tempat penyelidikan. 

No comments:

Post a Comment